Saturday 25 February 2012

Sayang how are you

im Wael im here in Kuantan miss you a lot - 22-Feb-2012
10:46:58 pm
Seorang kawan lama. Setelah dua tahun katanya. Akhirnya kami bertemu juga. Bagaikan mimpi. 

    Aku tak terfikir ada orang yang masih ingat dan sayang padaku, begitu banyak mengingati tentang aku. Selama ini kukira aku tidak mungkin berjumpa dengan seseorang yang memahamiku, sensitif dan masih ingat segala cerita lalu. Aku sengaja tidak mahu nampak orang memahami aku kerana aku seperti tidak percaya akan berjumpa insan sebegini dalam hidupku, yang ingat banyak tentang aku dan kami.

     Mula-mula dulu kami berjumpa dengan secara tidak sengaja sewaktu di tempat kerjaku, hotel Swiss Garden Resort And Spa, Kuantan, bila aku mahu cepat pulang dari kerja, aku bertawakkal untuk menumpang naik mana-mana teksi yang singgah dahulu di hotelku. Kebeetulan ada seorang tetamu hotel yang ingin menaiki teksi, aku mengambil peluang itu untuk berkongsi teksi dengannya. Alhamdulillah dia tidak kisah malahan mengalu-alukan aku naik bersama dengan kata-kata ramahnya:

"It's ok, we are muslim.." Begitulah mesranya dia yang kusangka lelaki Inggeris.

     Dalam teksi dia begitu berminat berbual denganku. Aku duduk di tempat duduk belakang manakala dia di bahagian hadapan. Dia sungguh seronok kelihatannya bercerita tentang pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke Malaysia. 

     Waktu itu aku langsung tidak menyangka kami berterusan akan menjadi sahabat yang serasi sehingga ke hari ini. Aku menyangka, seorang lelaki yang sudah berkeluarga dan begitu penyayang dengan anak perempuannya, tidak mungkin akan berkawan dengan aku. Aku mengabaikannya dengan cepat sebaik sahaja aku selamat tiba ke rumah.

     Kita tidak akan mengetahui akan sesuatu perkara atau mengenali seseorang jika tidak kerana masa. Masa mengajar kita satu persatu akan diri seseorang dan tentang persahabatan yang begitu serasi. Hari ini baru aku sedar, dia ada persamaan dengannku-sikap sensitif kepada keluarga dan orang lain.

Friday 17 February 2012

APAKAH RASANYA BAHAGIA 3

Add caption

Mencintai Allah dan mencintai Rasullullah akan membuat hati bahagia. Setiap insan pasti mempunyai rasa yang berbeza jika dapat menjejaki ke tanah suci.



Bila aku seakan tidak mengenal diri, aku akan menatap cermin dan cuba bertanya pada diri, mengapa aku tidak bahagia hari ini? Bagaimana aku merasa bahagia di masa lalu hinggakan aku mampu tersenyum dari hati.


Aku bertanya pada diri, apakah rasanya bahagia saat aku sengsara atau bersedih jiwa. Mengapa aku jadi begitu lara.Bila aku sedang ketawa, aku pun berkata pada hati, owh, aku sedang berbahagia,
alhamdulillah.





Ketika rezeki kegemaran dihadapi oleh seisi keluarga, bahagia sentiasa di ambang mata.


Tunggu apa lagi? dah baca doa? atau ada yang dah curi-curi makan sebelum cukup tiap seisi rumah menghadirkan diri duduk bersama?

APAKAH RASANYA BAHAGIA 2


     Bila aku merasa sengsaranya tiada ketenangan di dalam jiwa, aku pun mengenang kembali saat-saat aku terpaksa berkejar untuk ke pejabat atau pun bertemujanji dengan klien tanpa mengenepikan waktu makanku dan anak-anak. Aku perlu menikmati masa-masa bahagia sekarang kerana aku tidak perlu lagi berlari-lari dengan menepis pelbagai tekanan sepanjang hari bekerja, dari celik mata sehingga rebahnya tubuh di tempat tidur. 

     Waktu itu puteri bongsuku berusia enam bulan. Terlalu sibuk hingga aku hanya merasa sempat berfikir dan ada waktu senggang waktu dalam perjalanan ke tempat kerja, pergi dan balik. Tugasku penuh dengan tekana hingga tiada ruang untuk 'hang out' sedikit pun. Sebagai pasukan pemasaran sebuah hotel terbaik di pantai timur, kami sentiasa ingin mengekalkan posisi terbaik di Malaysia dalam jualan kad keahlian bagi pihak hotel kami. Di antara rakan-rakan sekerja pula, aku sebagai orang paling lama di Kuantan ketika itu tertekan juga setiap hari kerana tercabar dengan rakan-rakan kerja baru yang berpengalaman dan dengan pegurus baru bersilih ganti bertukar daerah ataupun berhenti kerana tidak tahan dengan tekanan kerja. Aku menghadapi semua itu sehingga aku tidak sedar bilakah aku merasa bahagia. Waktu menerima gajikah? atau semasa mempunyai klien-klien yang baik budi, yang tahu etika kerja itu lebih penting daripada keuntungan semata.

     Aku banyak terperangkap dengan situasi yang membuatku terpaksa memilih masa bersama anak-anakku dan kerja. Aku suka bekerja di hujung minggu, mencuri waktu klien-klien yang lebih berkesempatan untuk meluangkan masa keluar dari rumah. Aku sendiri terpaksa merangka cuti bersama keluarga ketika cuti sekolah,.iaitu selain daripada hujung minggu.

     Mujurlah sekarang aku telah pun memilih bidang kerja yang hanya memerlukanku duduk dalam masa yang aku suka, dengan pakaian yang aku selesa, situasi yang dapat kupilih bila, namun bahagialah hendaknya.

     Aku bahagia bila aku dapat bersama seluruh ahli keluargaku setiap masa, setiap ketika, hampir 24 jam sehari. Seterusnya mengapa aku tidak merasa bahagia? Kerana anak-anak yang semakin manja kerana aku berada di depan mata? atau kerenah mereka tidak terkawal kerana aku ada, aku tempat mengadu segala cerita?

     Mungkin kerana aku telah terbiasa dengan pendapatan yang masuk tepat masanya pada setiap bulan sedangkan dengan pekerjaan baru menuntut usaha yang lebih dan segalanya perlu dibuat sendiri. Lambat atau cepat hasilnya bergantung kepada klien yang diperolehi. Jika klien meragam, poketku juga akan meragam.

     Aku masih belum cukup belajar dalam selok-belok perniagaan secara berdikari. Mentor atau bos tidak mendesak apa-apa kerana mereka tidak membayar gaji, hanya pandai-pandailah melakukan tugasan dengan cepat dan lancar. Jika tiada klien, nampak sangat tak pandai buat kerja. Ada klien pun jika lambat hasilnya, juga dikatakan tak pandai buat kerja. Aku tidak didesak oleh orang atasan yang mahukan kerja siap tepat pada masanya tapi masing-masing terdesak dengan sikap para pelanggan yang terlalu manja dan mengada-ngada. Mereka seperti raja, mereka tunjukkan sifat raja mereka yang banyak kerenah dan mahu dilayan setiap masa. Bagiku inin adalah sebahagian daripad cabaran. Semasa belajar dulu, tidak pernah diajar dengan sikap-sikap pelbagai raja-raja ini secara terperinci. Pengalaman yang mendedahkan segalanya.

     Bahagiakah aku? Bila aku dapat menangani situasi kerjaku dengan baik, ya! aku bahagia. Tapi bila aku gagal, aku amat sengsara! Aku sentiasa ingin menjadi yang terbaik dan aku pun tidak suka yang biasa-biasa sahaja. Tidak hairanlah apa yang kuhadapi selalunya perkara-perkara luar biasa.

     Bayangkan anda melakukan kerja anda dengan masih berpakaian tidur, menjawab telefon dan menguruskan klien. Anda akan merasa seronok bersarapan pagi itu setelah bernyanyi-nyanyi mandi di bilik air. Pada hari yang lain pula klien yang sama ingin membatalkan permohonannya. Bahagiakah anda? Pada situasi yang lain, anda terlalu penat hari itu, tidak makan sehingga hampir petang, terlalu mengantuk dan cuba untuk lena sekejap, tiba-tiba telefon berbunyi walaupun tidak berdering nyaring tapi terasa langsing sebab anda baru terjaga dari tidur, sakitkah hati anda? Tapi sejuk perasaan itu sekiranya klien yang menelefon dan mengemukakan permohonan kepada apa yang anda tawarkan.

     Masa terlalu cepat menginjak pergi. Jika aku menangguhkan sebarang kerja maka rugilah aku kerana masa yang lepas aku bazirkan sedangkan masa sekarang sewajarnya aku melakukan tugas yang baru. 

     Bahagiakah aku jika aku mengabaikan kerja kerana sakit? Tiada siapa yang senang dengan keuzuran. Orang yang kaya sekalipun masih ingin merasa sihat untuk menikmati kekayaannya paling tidak pun, atau untuk bekerja dengan lebih keras lagi kerena 'besar periuk, besarlah keraknya'. Besar pendapatan, besar lagi kos-kos sekeliling yang perlu dibayar. Tak termasuk lagi kos nafsu yang menginginkan sesuatu yang lebih baik dan lebih gah.

     Apakah rasanya bahagia jika aku tahu menikmati apa yang Allah telah kurniakan kepadaku setakat ini. Aku perlu jangan alpa dengan melihat sekelilingku, atas dan bawah bila aku tidak merasa bahagia. Kenapa aku tidak bahagia? Kenapa orang lain yang mempunyai nasib yang lebih malang daripadaku berpeluang merasa bahagia malah lebih hebat bahagianya. Aku perlu renung-renungkan ini semua.





Aku suka menatap kemegahan kuda-kuda yang gagah perkasa dengan kepantasannya berlari, rentak kakinya bagaikan berirama sewaktu berjalan mahupun berlari kencang. Aku melarikan segala kepenatanku setiap kali melihat kuda berlari.

Wednesday 15 February 2012

APAKAH RASANYA BAHAGIA




    Pagi ini aku bangun awal dengan selesa. Mungkin rehat ku semalam sudah mencukupi dan buat tubuhku selesa. Jam 2.30pagi aku telah pun menyelesakan diri. Memanaskan akal menajamkan fikiran setelah puas aku merasa seperti tiada bahagia langsung beberapa hari ini. 

     Semalam, benar-benar aku lemah. Segalanya terasa seperti tiada berdaya sehingga aku terpaksa membaca yasin di malam Jumaat ini dalam keadaan berbaring dan dengan membuka rakaman bacaan yasin sambil aku mengikuti bacaan selagi terdaya. Terlalu terasa ingin tidur, tapi sayang untuk melepaskan fadhilat membaca yasin di malam penghulu segala hari ini. Solat Maghrib masih aku dapat melunaskan rukun tiga belas dengan baik, bermula dengan berdiri betul. 

     Aku gagal untuk merasa bahagia, walaupun aku berjuang untuk memperolehinya. Aku cuba pelbagai cara untuk merasakan bahagia dan merasa tenang pun aku akan bersyukur sangat. Apa yang tidak kena denganku?

Untuk tidak berasa bersalah kepada diri sendiri, aku terus-menerus menunaikan kewajipanku sebagai insan mukmin setiap waktu. Aku cuba kuatkan azam untuk bertahajjud dan qiamul-lail semampu mungkin. Bila aku berjaya melakukannya, setiap pagi aku akan rasakan begitu dirahmati.

     Pun begitu, hanya sekejap, aku kembali mencari-cari, apakah maknanya bahagia bila aku sering saja mudah marah dan tidak selesa dengan persekitaranku. Mungkin aku terlalu letih atau sakit? Atau paling tepat lagi kerana aku berjauhan darimu, tidak dapat mendengar suaramu, gagal menatap wajah manjamu, asing dari cintamu. Paling nyata kurasakan, nikmat bahagia seperti telah ditarik olehNya dari hati sanubariku kerana aku benar-benar tidak dapat menyelami maksud sebenar akan bahagia. 

     Aku pun cuba menghitung saat-saat yang kukira aku bahagia bila aku dapat tersenyum dan ketawa. Bila anak kecilku mengaksikan lentuk manjanya di bahuku, aku rasa senang. Waktu 'baby'ku menciumku empat belas kali pagi tadi, aku rasa amat seronok dan puas sekali. Aku menghitung satu persatu kucupannya. Ketika dia tiba-tiba terlena di ribaanku  tengahari tadi waktu aku sibuk di hadapan komputer riba, aku terlalu bebas dengan rasa bahagia dengan menatap wajah mulus dan polosnya.

     Hanya sedetik rasanya kualami, kemudian belum sempat panas di mana aku singgah, dia bangun semula tak semena-mena dikejutkan dengan kartun kegemarannya, tanpa sempat aku menutup rancangan itu. Puteriku berkejar mengadap kartun Boboiboy kegilaanya dengan menempek di atas pahaku.Aku senang dengan kemanjaannya tapi aku terlalu risau dengan tugasanku yang tertunda. Aku tidak pernah berpuas hati dengan hasil kerjaku. Aku sentiasa sedarr aku perlu banyak bersabar, tapi tiap kali juga aku cepat marah bila masaku bersendiri terlalu dicemburui oleh sang tanggungjawab.

     Bagaikan sedetik cuma, ketenangan kualami. Kemudian pula, anak-anakku pulang dari sekolah dan tidak akan ada lagi suasana yang lebih meriah lagi daripada suara-suara kecil yang sentiasa ada pelbagai cerita tak kira samada ingin bercakap-cakap denganku atau bercakap-cakap sesama mereka, bagai tiada ketika yang lain untuk ditunggu.

     Aku senang dengan anak-anakku, bersyukur mereka tidak senakal mana seperti selalu orang kata biarpun kanak-kanak sememangnya banyak kerenah dan ragam. Aku lenang dengan beberapa puteri dan putera yang setengah orang tidak memilikinya seramai aku atau ada yang tidak langsung ada. Tiada ruang sunyi dalam hidupku, tapi mengapa aku begitu cepat mengalami akan hilangnya bahagia dalam hidupku?





Betapa lenanya Tengku Nour setelah berpenat-lelah di hadapan lap top dengan cerita-cerita kegemarannya, biarpun berulang kali ditonton, ketawa terujanya tetap sama. Ha..sekarang rasakan bagaimana lelahnya....


     Aku pun menumpang bahagia bila melihatnya tidur. Merenung mata besarnya yang telah terpejam, bulu  mata panjang yang lentik, rambutnya yang bergulung ayu tiap helaian. Aku terleka sebentar dalam putaran rambutnya yang berwarna coklat keperangan, lebih perang di bahagian rambutnya yang halus di bahagian pelipis di tepi telinga. Aku jadi lupa dengan ragam kerenahnya yang sering buat aku jadi orang yang paling sibuk dan cepat marah. Detik ini aku bahagia.