Wednesday 15 February 2012

APAKAH RASANYA BAHAGIA




    Pagi ini aku bangun awal dengan selesa. Mungkin rehat ku semalam sudah mencukupi dan buat tubuhku selesa. Jam 2.30pagi aku telah pun menyelesakan diri. Memanaskan akal menajamkan fikiran setelah puas aku merasa seperti tiada bahagia langsung beberapa hari ini. 

     Semalam, benar-benar aku lemah. Segalanya terasa seperti tiada berdaya sehingga aku terpaksa membaca yasin di malam Jumaat ini dalam keadaan berbaring dan dengan membuka rakaman bacaan yasin sambil aku mengikuti bacaan selagi terdaya. Terlalu terasa ingin tidur, tapi sayang untuk melepaskan fadhilat membaca yasin di malam penghulu segala hari ini. Solat Maghrib masih aku dapat melunaskan rukun tiga belas dengan baik, bermula dengan berdiri betul. 

     Aku gagal untuk merasa bahagia, walaupun aku berjuang untuk memperolehinya. Aku cuba pelbagai cara untuk merasakan bahagia dan merasa tenang pun aku akan bersyukur sangat. Apa yang tidak kena denganku?

Untuk tidak berasa bersalah kepada diri sendiri, aku terus-menerus menunaikan kewajipanku sebagai insan mukmin setiap waktu. Aku cuba kuatkan azam untuk bertahajjud dan qiamul-lail semampu mungkin. Bila aku berjaya melakukannya, setiap pagi aku akan rasakan begitu dirahmati.

     Pun begitu, hanya sekejap, aku kembali mencari-cari, apakah maknanya bahagia bila aku sering saja mudah marah dan tidak selesa dengan persekitaranku. Mungkin aku terlalu letih atau sakit? Atau paling tepat lagi kerana aku berjauhan darimu, tidak dapat mendengar suaramu, gagal menatap wajah manjamu, asing dari cintamu. Paling nyata kurasakan, nikmat bahagia seperti telah ditarik olehNya dari hati sanubariku kerana aku benar-benar tidak dapat menyelami maksud sebenar akan bahagia. 

     Aku pun cuba menghitung saat-saat yang kukira aku bahagia bila aku dapat tersenyum dan ketawa. Bila anak kecilku mengaksikan lentuk manjanya di bahuku, aku rasa senang. Waktu 'baby'ku menciumku empat belas kali pagi tadi, aku rasa amat seronok dan puas sekali. Aku menghitung satu persatu kucupannya. Ketika dia tiba-tiba terlena di ribaanku  tengahari tadi waktu aku sibuk di hadapan komputer riba, aku terlalu bebas dengan rasa bahagia dengan menatap wajah mulus dan polosnya.

     Hanya sedetik rasanya kualami, kemudian belum sempat panas di mana aku singgah, dia bangun semula tak semena-mena dikejutkan dengan kartun kegemarannya, tanpa sempat aku menutup rancangan itu. Puteriku berkejar mengadap kartun Boboiboy kegilaanya dengan menempek di atas pahaku.Aku senang dengan kemanjaannya tapi aku terlalu risau dengan tugasanku yang tertunda. Aku tidak pernah berpuas hati dengan hasil kerjaku. Aku sentiasa sedarr aku perlu banyak bersabar, tapi tiap kali juga aku cepat marah bila masaku bersendiri terlalu dicemburui oleh sang tanggungjawab.

     Bagaikan sedetik cuma, ketenangan kualami. Kemudian pula, anak-anakku pulang dari sekolah dan tidak akan ada lagi suasana yang lebih meriah lagi daripada suara-suara kecil yang sentiasa ada pelbagai cerita tak kira samada ingin bercakap-cakap denganku atau bercakap-cakap sesama mereka, bagai tiada ketika yang lain untuk ditunggu.

     Aku senang dengan anak-anakku, bersyukur mereka tidak senakal mana seperti selalu orang kata biarpun kanak-kanak sememangnya banyak kerenah dan ragam. Aku lenang dengan beberapa puteri dan putera yang setengah orang tidak memilikinya seramai aku atau ada yang tidak langsung ada. Tiada ruang sunyi dalam hidupku, tapi mengapa aku begitu cepat mengalami akan hilangnya bahagia dalam hidupku?





Betapa lenanya Tengku Nour setelah berpenat-lelah di hadapan lap top dengan cerita-cerita kegemarannya, biarpun berulang kali ditonton, ketawa terujanya tetap sama. Ha..sekarang rasakan bagaimana lelahnya....


     Aku pun menumpang bahagia bila melihatnya tidur. Merenung mata besarnya yang telah terpejam, bulu  mata panjang yang lentik, rambutnya yang bergulung ayu tiap helaian. Aku terleka sebentar dalam putaran rambutnya yang berwarna coklat keperangan, lebih perang di bahagian rambutnya yang halus di bahagian pelipis di tepi telinga. Aku jadi lupa dengan ragam kerenahnya yang sering buat aku jadi orang yang paling sibuk dan cepat marah. Detik ini aku bahagia.

1 comment: