Friday 17 February 2012

APAKAH RASANYA BAHAGIA 2


     Bila aku merasa sengsaranya tiada ketenangan di dalam jiwa, aku pun mengenang kembali saat-saat aku terpaksa berkejar untuk ke pejabat atau pun bertemujanji dengan klien tanpa mengenepikan waktu makanku dan anak-anak. Aku perlu menikmati masa-masa bahagia sekarang kerana aku tidak perlu lagi berlari-lari dengan menepis pelbagai tekanan sepanjang hari bekerja, dari celik mata sehingga rebahnya tubuh di tempat tidur. 

     Waktu itu puteri bongsuku berusia enam bulan. Terlalu sibuk hingga aku hanya merasa sempat berfikir dan ada waktu senggang waktu dalam perjalanan ke tempat kerja, pergi dan balik. Tugasku penuh dengan tekana hingga tiada ruang untuk 'hang out' sedikit pun. Sebagai pasukan pemasaran sebuah hotel terbaik di pantai timur, kami sentiasa ingin mengekalkan posisi terbaik di Malaysia dalam jualan kad keahlian bagi pihak hotel kami. Di antara rakan-rakan sekerja pula, aku sebagai orang paling lama di Kuantan ketika itu tertekan juga setiap hari kerana tercabar dengan rakan-rakan kerja baru yang berpengalaman dan dengan pegurus baru bersilih ganti bertukar daerah ataupun berhenti kerana tidak tahan dengan tekanan kerja. Aku menghadapi semua itu sehingga aku tidak sedar bilakah aku merasa bahagia. Waktu menerima gajikah? atau semasa mempunyai klien-klien yang baik budi, yang tahu etika kerja itu lebih penting daripada keuntungan semata.

     Aku banyak terperangkap dengan situasi yang membuatku terpaksa memilih masa bersama anak-anakku dan kerja. Aku suka bekerja di hujung minggu, mencuri waktu klien-klien yang lebih berkesempatan untuk meluangkan masa keluar dari rumah. Aku sendiri terpaksa merangka cuti bersama keluarga ketika cuti sekolah,.iaitu selain daripada hujung minggu.

     Mujurlah sekarang aku telah pun memilih bidang kerja yang hanya memerlukanku duduk dalam masa yang aku suka, dengan pakaian yang aku selesa, situasi yang dapat kupilih bila, namun bahagialah hendaknya.

     Aku bahagia bila aku dapat bersama seluruh ahli keluargaku setiap masa, setiap ketika, hampir 24 jam sehari. Seterusnya mengapa aku tidak merasa bahagia? Kerana anak-anak yang semakin manja kerana aku berada di depan mata? atau kerenah mereka tidak terkawal kerana aku ada, aku tempat mengadu segala cerita?

     Mungkin kerana aku telah terbiasa dengan pendapatan yang masuk tepat masanya pada setiap bulan sedangkan dengan pekerjaan baru menuntut usaha yang lebih dan segalanya perlu dibuat sendiri. Lambat atau cepat hasilnya bergantung kepada klien yang diperolehi. Jika klien meragam, poketku juga akan meragam.

     Aku masih belum cukup belajar dalam selok-belok perniagaan secara berdikari. Mentor atau bos tidak mendesak apa-apa kerana mereka tidak membayar gaji, hanya pandai-pandailah melakukan tugasan dengan cepat dan lancar. Jika tiada klien, nampak sangat tak pandai buat kerja. Ada klien pun jika lambat hasilnya, juga dikatakan tak pandai buat kerja. Aku tidak didesak oleh orang atasan yang mahukan kerja siap tepat pada masanya tapi masing-masing terdesak dengan sikap para pelanggan yang terlalu manja dan mengada-ngada. Mereka seperti raja, mereka tunjukkan sifat raja mereka yang banyak kerenah dan mahu dilayan setiap masa. Bagiku inin adalah sebahagian daripad cabaran. Semasa belajar dulu, tidak pernah diajar dengan sikap-sikap pelbagai raja-raja ini secara terperinci. Pengalaman yang mendedahkan segalanya.

     Bahagiakah aku? Bila aku dapat menangani situasi kerjaku dengan baik, ya! aku bahagia. Tapi bila aku gagal, aku amat sengsara! Aku sentiasa ingin menjadi yang terbaik dan aku pun tidak suka yang biasa-biasa sahaja. Tidak hairanlah apa yang kuhadapi selalunya perkara-perkara luar biasa.

     Bayangkan anda melakukan kerja anda dengan masih berpakaian tidur, menjawab telefon dan menguruskan klien. Anda akan merasa seronok bersarapan pagi itu setelah bernyanyi-nyanyi mandi di bilik air. Pada hari yang lain pula klien yang sama ingin membatalkan permohonannya. Bahagiakah anda? Pada situasi yang lain, anda terlalu penat hari itu, tidak makan sehingga hampir petang, terlalu mengantuk dan cuba untuk lena sekejap, tiba-tiba telefon berbunyi walaupun tidak berdering nyaring tapi terasa langsing sebab anda baru terjaga dari tidur, sakitkah hati anda? Tapi sejuk perasaan itu sekiranya klien yang menelefon dan mengemukakan permohonan kepada apa yang anda tawarkan.

     Masa terlalu cepat menginjak pergi. Jika aku menangguhkan sebarang kerja maka rugilah aku kerana masa yang lepas aku bazirkan sedangkan masa sekarang sewajarnya aku melakukan tugas yang baru. 

     Bahagiakah aku jika aku mengabaikan kerja kerana sakit? Tiada siapa yang senang dengan keuzuran. Orang yang kaya sekalipun masih ingin merasa sihat untuk menikmati kekayaannya paling tidak pun, atau untuk bekerja dengan lebih keras lagi kerena 'besar periuk, besarlah keraknya'. Besar pendapatan, besar lagi kos-kos sekeliling yang perlu dibayar. Tak termasuk lagi kos nafsu yang menginginkan sesuatu yang lebih baik dan lebih gah.

     Apakah rasanya bahagia jika aku tahu menikmati apa yang Allah telah kurniakan kepadaku setakat ini. Aku perlu jangan alpa dengan melihat sekelilingku, atas dan bawah bila aku tidak merasa bahagia. Kenapa aku tidak bahagia? Kenapa orang lain yang mempunyai nasib yang lebih malang daripadaku berpeluang merasa bahagia malah lebih hebat bahagianya. Aku perlu renung-renungkan ini semua.





Aku suka menatap kemegahan kuda-kuda yang gagah perkasa dengan kepantasannya berlari, rentak kakinya bagaikan berirama sewaktu berjalan mahupun berlari kencang. Aku melarikan segala kepenatanku setiap kali melihat kuda berlari.

No comments:

Post a Comment