Friday 27 January 2012

AKU MENUNGGUMU 10

     Ada hikmahnya bila aku mengenali terlalu banyak sisi gelapmu. Ada baiknya bila aku terlalu banyak teruji dengan sikapmu yang benar-benar berbeza dengan orang lain.
     Aku menjadi seorang yang penyabar dan tabah hati. Aku lebih kuat menghadapi waktu-waktu sukar bersendirian. Aku menyembunyikan sakitku kerana aku tau, aku tidak dapat mengadu pada siapa, jauh sekali bermanja-manja. Aku hanya dapat bermanja dengan Allah, dengan berdamping denganNya, mengadu setiap detik sakitku dan deritaku padaNya. Sudahnya, Dia berikan aku kekuatan dan aku berjaya tiap kali menempuh masa-masa sukarku tiap kali.
     Memang setiap yang baik itu dari Allah, yang buruk itu dari diriku sendiri. Tapi sebenarnya Dia tak pernah membiarkan kita bersendirian menempuh segala kepayahan, bila kita kembali kepadaNya. Dan aku tak mahu lupa, di saat senangku, aku mahu terus menjadi insan, hamba yang taat ke hadrat Illahi.
     Ini juga membuat aku semakin sayang padamu. Kerana kau, aku mendapat segala apa yang aku rasai sekarang ini. Mungkin orang kata, tak seberapa, atau apa-apalah. Utama sekali, aku dapat menjalani hidupku dengan tenang dan sabar. 
     Bukan aku berpuas hati dengan hidupku. Sekadar bersyukur kerana aku masih lagi di bawah lindunganNya. Masih kuat aku menangkis tanggapanmu yang mengatakan aku tidak jujur atau tidak berkata benar. Siapa yang jujur dan benar, hanya Dia yang lebih mengetahui akan kenapa dan mengapa terjadinya demikian. Dia yang menyusun atur segala takdir di dunia ini. Kita hanya melalui hidup ini mengikut acuan kita sendiri, Dia juga yang mencorakkan takdir yang berpembolehubah berdasarkan apa yang kita usahakan. Takdir yang tak boleh langsung terusik dan terubah adalah nyawa kita dan jodoh kita. Itu yang aku pelajari selama ini. Mungkin ada lagi yang aku tak tahu kerana jika semua air lautan di dunia ini habis dijadikan dakwat, takkan habis ilmuMu.
     Kau bijak berkata-kata. Kau berilmu tinggi. Itu mencabarku mengolah segala kata-kata kau yang terlancar dari bibirmu. Memang menyakitkan hati, terlalu berterus terang dan sadis untuk diterima kadang-kala. Tapi aku berfikir juga, jika aku tidak dapat bertahan dengan cara kau berkata-kata, apakah keistimewaan aku untuk jadi insan terpilih berada di sisimu.
     Bagiku, tiada cabaran hidup tak bermakna. Cabaran terbesarku adalah emakku sendiri. Di awal perhubungan lagi mak memprotes tentang hubungan kita. Katanya aku tak sepadan dan banyak kekurangan. Walaupun itu bondaku sendiri, aku anggap itu sebagai satu cabaran juga agar nanti mak akan percaya tentang kesungguhanku menempuh cabaran hidup bersamamu. Untunglah setelah empat tahun, aku dapat merasa lega bercakap dengan mak di talian pada dua minggu yang lalu, bagaimana aku dan kau telah merancang kehidupan tanpa menyusahkan sesiapa. Aku menumpang berkat mak akan ke Baitullrintaah Mac nanti untuk menunaikan umrah. Hajatnya sepanjang hayat itu kuambil kebaikannya dengan berhajatkan mak doakan dipermudahkan segala urusan untuk aku dan kau menyatukan dua buah keluarga. Selama ini kita bermain sembunyi kerana terlalu banyak halangan yang berlaku. Banyak rintangan yang menjadionak duri. Bagiku demikian kerana kuperhatikan amat payah bagi kau menyelesaikan urusan bagi kita berdua. Belum lagi dengan masalah yang lain-lain: anak-anak kita (anak-anak yang telah sebati memanggil kau 'ayah') dan bekas suamikku yang masih berada di dekat, mengambil tahu setiap gerak langkahku biarpun dia sendiri telahpun berumah dan bertangga dengan perempuan yang menjadi orang ketiga antara kami dulu.
     Aku memang tak sanggup mulanya menghadapi keadaan ini. Beralah setiap masa demi anak-anak yang semakin membesar, sedangkan abah anak-anak masih bernyawa di muka bumi ini. Aku mahu 'win-win situation' bagi anak-anak dan abah mereka. Aku juga berjuang meraih kepercayaanmu setiap kali kau berasa cemburu dengan bekas suamiku. Jika aku dan dia sudah tidak bercakap sejak beberapa tahun setelah perceraian, tak mungkin aku dapat berbaik-baik semula dengannya. Jauh panggang dari api. Pernah dekat pun tidak, apalagi untuk bercakap. Benar-benar aneh apa yang aku lalui ini. 
     Kau cemburukah? kenapa kau tidak menjagaku baik-baik? Pulanglah selalu dan kau akan tahu betapa aku memerlukanmu.Atau memang kau lebih ingin aku meratah hidup ini satu-satu tanpa kau, satu-satunya manusia yang sepatutnya ada di sisi memikul beban, menjaga maruahku, memelihara namaku, mendidikku, melindungi aku dan menyayangi aku.  
     Mungkin kau memang belum ditakdirkan dapat merasa apa yang aku rasakan selama ini. Belum lagi Allah membuka pintu hatimu untuk hidup dekat denganku, bersama-sama tiap waktu mengharungi manisnya kehidupan, pahitnya laluan hayat ini.
    

No comments:

Post a Comment