Friday 27 January 2012

AKU MENUNGGUMU 11

     Berat dugaanku. Berat sungguh. Beberapa minggu kebelakangan ini kesetiaanku tercabar oleh beberapa lelaki lain. Sedangkan aku meletakkan status sebagai isterimu, Erhan tidak peduli. Katanya, tiada sebarang niat lain baginya, hanya seorang kawan yang tersanjung oleh manisnya senyum. Patutlah Islam menyuruh perempuan-perempuannya menutup aurat.
      Melihat sebuah senyuman sahaja dapat membuat sebuah hati bergetar, mencair. Aku tidak berasa angkuh dengan pujian. Tapi cukuplah sekadar berterima kasih dan memberitahu, usiaku sekarang bukan lagi macam remaja yang diangkat kemurnian ayunya sebagai seorang perempuan yang masih belum terusik.
      Aku juga ingin memberitahu diriku sendiri, sekarang bukan masanya untuk berkembang hati dengan pujian, kerana pujian seringkali membawa perkara dusta dan hiba. Dusta bila manusia hanya menyanjung sekejap, kemudian hari akan terpaut dengan keindahan bunga yang lain pula. Hiba kerana seringkali indah khabar dari rupa, keikhlasan selalu cuma sementara. Lebih baik aku memandang diri sebagai manusia yang tidak kekal cantiknya, melainkan rupawan iman juga dipandangNya.
     Seorang yang agak mengerti menghormati, cuma kerana aku berkata aku bersama suamiku. Tapi tak pernah diam dan sunyi memaparkan diri di arena 'facebook' mukabuku yang menjadi kegilaan ramai bersosial. Sudah dua orang yang menutup akaunnya kerana aku. Seeorang memadam akaunnya dengan segera setelah menegakkan benang yang basah, berbicara biadap denganku dan mengaibkan diri sendiri. Bagiku, laman sosial adalah tempatku memanjangkan ukhuwah dan menemukan aku dengan banyak insan-insan bermakna dalam hidupku: saudara-mara terdekat yang tinggal berjauhan ataupun yang sememangnya jauh dari hati. Siaplah kalau seseorang bertindak kurang sopan denganku. 'Lelaki pelindung wanita' kononnya, dah pupus dan terhapus.
     Aku masih mahu mentarbiah pada lelaki-lelaki yang dapat mendengar kata. Berkongsi ilmu dan pendapat di alam maya. Banyak lagi yang bijak laksana melata di luar sana. Cuma, ada yang tertutup hatinya, tak nampak bayang, mana tempat bumi dipijak langit dijunjung.
    Bagiku, fitrahnya lelaki perlukan perempuan. Seorang perempuan yang dapat memenuhi kemahuannya. Kesunyiannya, ketenangan hatinya, kemewahan cintanya.
      Memang payah menemukan apa yang kita mahukan. Aku cuma dapat hidup seperti yang aku inginkan. Tapi aku tak lupa betapa besarnya pengaruh seorang   perempuan dalam hidup seorang lelaki. Orang kata: Jatuhnya seorang lelaki kerana seorang perempuan. Jadi aku sedar, aku juga mempunyai pengaruh yang besar dalam hidup kau. Aku boleh menjadi cermin bagi diri kau. Kau boleh melihat dirimu sendiri jika kau melihat aku, kerana aku sentiasa 'merefleksi' apa yang ada pada dirimu. Bila aku terlalu menyayangi dirimu, banyaklah sikap dan caramu yang mempengaruhi aku, jadi akulah cerminmu - bila kau bercakap sesuatu perkataan, aku akan ingat dan aku suka menyebutnya pula. Sebab aku suka apa yang kau suka, sudah tentu aku terpengaruh banyak dengan cara kau bercakap. Kadang-kadang perkataan itu menjengkelkan orang di sisiku, kerana sebelum ini aku tidak bersuara seperti itu. Kadang-kadang aku yang tidak perasan, aku telah banyak berubah kerana kau.
     Bukan perkara besar bila aku terikut perkara yang remeh. Akan menjadi besar bila diperbesar-besarkan dan aku perlu segera berubah. Aku sukar menjadi diri sendiri rupanya bila aku banyak menyayangi setiap yang ada pada diri kau. Aku cuba mengasingkan perkara-perkara yang serasi denganku daripada cara bertindak, berperangai, bertingkah-laku yang tidak cantik. Aku yang bertanggungjawab terhadap diri sendiri, bukan diri kau. Aku yang membawa diriku sendiri ke mana-mana dan orang akan menilai, siapa yang terhampir denganku. Siapa kaum keluargaku, siapa yang terdekat denganku. Aku akan mengaibkan diri sendiri dan kau juga jika terus bertindak dan berkelakuan yang tidak manis. Buruk perangai dengan kata mudahnya.
     Pendapat setengah orang adalah pelbagai. Pandangan yang tak serupa tapi perasaan tetap sama = tersinggung jika dikasari. Jadi, aku samakan tiap orang agar tidak aku berkurang adab dengan mereka.
     Aku menunggumu dengan masa, agar aku dapat berubah menjadi insan yang lebih baik. Aku mahu di akhirnya, kau berbangga denganku, seluhur hatimu. Pandanglah aku dari sisimu yang lagi satu, aku murni dalam cintaku.  

No comments:

Post a Comment