Saturday 28 January 2012

AKU MENUNGGUMU 14



     "yang mahu mentaati abang. Yang mahu abang sentiasa percaya pada yang" 03:33:03am pada 13 Oktober dua tahun lalu.

      Kata-kata ini sering aku ingat dan kuulang 'text' kepada kau setiap 3:33pagi, dengan bantuan penggera telefonku. Aku akan bangun sebelum bertahajjud, menghilangkan ngantuk dan mengirim 'text' itu dengan ucapan- ucapan baru.Selama dua tahun itu tentu ada rasa malas dan putus asa, tapi sering juga aku dapat mengatasi perasaan patah hati lalu tidak mahu berhenti. Pernah juga aku tertidur sewaktu sedang merangka draf kiriman, pernah banyak kali tak sempat aku menekan punat 'send' kerana mata sudah terpejam kembali. Aku hanya akan mengirimkan teks itu hanya pada jam 3:33pagi sahaja.
     Kau sahaja seorang lelaki yang mencatat rekod kesetiaanku paling hebat dalam sejarah hidupku. Sepanjang hidupku ini, kau sebagai orang kedua yang menerjah masuk dalam hidupku dan putera-puteriku.  Kau memikat hati putera-puteriku dengan caramu yang tersendiri.

     "tahniah umi." Putera ketigaku menghulurkan salam dengan girang sekali. Kemas tanganku digenggamnya.

     "kenapalah umi tak jumpa ayah dari dulu?' tanya anakku lagi bila kau sudah kembali ke tempat kerja.

     "dah takdir, sayang. Kalau umi jumpa ayah dari dulu, tak adalah anak-anak umi ni" Aku memberikan alasan yang relevan, yang kufikir menyenangkan hati setiap pihak sekaligus anak-anak tetap teristimewa bagiku.

     "bila ayah nak balik lagi umi?" pertanyaan puteriku.

     "nanti ayah cuti, ayah balikla" 

     Semua anak-anakku menyenangi kau. Aku pun senang. Aku cuma payah untuk menjawab setiap pertanyaan dari mereka selalu. Kalau anak-anak rindu, apatah lagi aku.
     Aku menunggumu sebagai pencinta yang setia. Aku mahu menyimpan cerita-cerita setiaku untukku wariskan kepada anak-anakku, dan kuajarkan betapa mudahnya menjadi setia di zaman ini. Ada segala kemudahan  teknologi yang dapat kita manfaatkan untuk memeteri setia kepada orang yang kita sayang. Tak perlu menunggu bertahun lama, duduk di muka pintu menanti kekasih hati pulang ke pangkuan. Tak payah menanti di tebing tinggi jika ada kapal berlabuh membawa pulang ayah yang lama menghilang. Tak lagi membatu di atas pangkin, di tepi tebing bukit melihat pemandangan jauh, kalau-kalau nanti akan nampak juga sukma jiwa yang menyusul balik keharibaan. 
     Aku hanya perlu patuh pada kata hatiku. Akur pada keinginanku. Hidup seperti apa yang aku mahukan.

     "merajukla, sayang suka memujuk'' 03:36:36am, 5 Januari. Adakalanya terasa macam cerita cinta P. Ramlee dalam 'Madu 3'. Sebabnya, ada lagu 'Pukul Tiga Pagi'. Sang suami yang baru beristeri kali ketiga, menguliti madu hatinya dengan lagu yang begitu menjadikan wanitanya terasa begitu teruja dan terpana. Seorang lelaki yang bijak menyihir hati wanitanya.
     Tersihirkah aku dengan cintamu? Ya, benar. Aku gagal untuk membenci kau walau sedikitpun. Memang aku marah bila kau berbuat salah, dengan kata-kata yang selalu terbit dari lidah kau yang tak berpaksikan akal yang wajar. Kau tak tahu berbahasa rendah diri. Kau tak reti-reti untuk memahami hati perempuanku. Namun marah bagaimanapun aku, seakan aku faham pula, itu adalah kelemahan kau yang perlu aku terima. Itu tugasku untuk memperbetulkan apa yang kurang. Cabaranku menegur dan mencantikkan cara percakapan kau. Tak terkecuali, cara aku sendiri.
     Mungkin ada sikapku yang serupa dengan kau. Mungkin aku juga bercakap sombong atau sedikit meninggi diri tanpa aku sedari. Aku berfikir begitu kerana Allah kata, Allah akan temukan kita dengan orang yang hampir sama tingkah-lakunya dengan kita. Mungkin juga kau adalah cermin bagi diriku. Tapi, aku ini munafikkah?
     Baiklah. Jangan fikir yang bukan-bukan. Fikir positif. Eh, ini nasihat kau kepadaku di awal hubungan kita dulu.

     "jangan fikir yang bukan-bukan. Fikir positif. Nanti tunggu b..." Itu semasa kau berada jauh denganku dan aku menerima perkhabaran yang bukan-bukan rasanya dari seorang perempuan yang panas jiwanya.
     Di awal perhubungan, kau begitu takut sekali aku tinggalkan kau. Kau seperti perlukan aku. Kau cemburu dengan pergaulanku bersama klien-klien lelakiku.

     "ayang kalau jumpa lelaki lain, kita putus." Seperti kebudak-budakan. Waktu itu aku belum faham lagi dengan kerenahmu yang seperti tidak matang. Namanya saja seperti mengugut, tapi sebenarnya penakut jika ditinggalkan.

     Semakin lama semakin kau terperangkap dengan sikapmu sendiri. Aku tak dapat mengelak dengan urusan kerjaku yang sememangnya perlu berhadapan dengan lelaki. Bosku lelaki, staf yang ada, lelaki. Klien-klien yang ada pun lelaki sebab belum ada lagi klien yang menguruskan sektor pembalakan itu seorang perempuan atan wanita.
     Lama-lama kau pun faham. Kau tak pernah mengungkit pun dengan siapa aku berjumpa atas urusan kerja. Sebagai menyenangkan hatiku sendiri, aku pun melaporkan setiap pergerakanku, di mana dan ke mana, tanpa merasa susah atau terhalang. Aku tidak merasa terbeban dengan sentiasa berterus-terang kepada kau.  Ke mana pun aku pergi, akan aku maklumkan kerana itu akan melapangkan hatiku. Pernah aku semasa bermesyuarat, aku memanfaatkan komputer riba seorang klien di depanku, mengutus berita kepada kau.

No comments:

Post a Comment