Wednesday 25 January 2012

BANGUN AWAL

     Aku paling gembira bangun awal. Sejakku berusia 11 tahun aku telah membiasakan diri bangun awal kerana arwah abah telah menanamkan cita-cita untukku bersekolah di asrama. Seingat aku, tabiat ini telah pun ada sejak aku belum bersekolah lagi. Aku mudah terjaga di tengah malam, dan menghadapi masalah untuk tidur semula. Doktor kata, itu adalah gejala insomnia.
     Bila dah terbiasa, tentu tak menjadi masalah untukku untuk tidur lewat, malah malam adalah waktu yang paling aku tunggu-tunggu selalu. Aku bebas melakukan apa saja mahuku. Ketara sekali, aku suka mendengar radio, sepanjang malam hingga melarut hampir 24 jam sehari bila aku berpeluang.
     Kecil-kecil dulu, tentulah takut bila berjaga atau terjaga. Amat penakut sekali hinggakan hendak ke mana pun aku minta ditemankan. Aku hanya dapat mengatasi perasaan takutku di usia 9 tahun, darjah 3 atau tahun 3 pada zaman sekarang. Susahlah aku kalau terus-terusan menjadi penakut, kalau sering berjaga malam.
     Cara aku mengatasi perasaan takut itu sendiri dengan mengharunginya. Aku akan berlari pergi ke tempat yang aku hajatkan kemudian dengan cepat aku akan berlari juga meninggalkan tempat itu. Jangan berfikir banyak. Macam hendak mengambil buku di dalam bilik, aku tumpukan di mana buku itu, kemudian berlari mengambilnya dan cepat-cepat pula keluar dari bilik itu. Macamlah bilik tidurku jauh dari ruangan yang lain. Macamlah juga ada hantu yang menunggu bila-bila masa saja akan menyerang aku.
     Aku jadi suka bangun awal. Seawal jam 3 pagi, menemani abah solat tahajjud di bilik solat. Aku suka mengaminkan doa abah dan waktu itu air mataku pun akan mencurah-curah jatuh bila dengar doa abah yang sayu. Padahal aku masih belum faham sangat. Mungkin sebab aku adalah seorang yang amat sensitif.
     Paling seronok,selepas subuh emak pasti ada menyediakan sesuatu di meja makan. Apa saja yang dimasak awal, akan jadi begitu sedap sekali. Kalau nasi lemak, masik hangat dan wangi nasinya. Kalau karipap, masih rangup dan krup krup..nyam nyam.. Suka aku jadi orang pertama yang menjamah kuih-muih emak. Kalau mak masak sedikit, aku boleh makan lebih. Lebih sedikit daripada orang lain.
     Semasa aku tinggal dengan opah, aku tak tahu jam berapa opah dan atuk bangun pagi. Selalu celik-celik saja mata, opah dah dah bangun dan dapur kayunya sudahpun berasap. Rajin sungguh orang dahulu. Kalau aku sekarang, hendak menyalakan sebatang kayu api pun, menangis dulu pastinya.
      Bila bangun awal, ayam berkokok dapat di dengari. Bunyi burung-burung menciap berterbangan membelah langit, bertebaran dari sarangnya. Rumahku yang terletak di tepi sekali dari barisan rumah-rumah binaan FELDA, lebih hampir dengan kawasan ladang kelapa sawit. Amat dingin dan sejuk gigil sekali.
      Terasa hari-hari yang dilalui amat panjang bila bangun awal. Emak akan bising pagi-pagi menyuruh cepat-cepat bangun membersihkan diri, sarapan pagi dan bersiap-siap ke sekolah. Itu zaman sekolah rendah. Tapi selalunya rasa macam singkat saja masa, sebab tahu-tahu saja, dah siang, dah paun tiba ke sekolah, tak lama kemudian, loceng pun berbunyi. Merasa aku memulakan dua tahun pertama persekolahan di kampung. Amat meriah sebab opah akan menemankanku setiap hari bersama kawan-kawan yang merupakan saudara-maraku, melintas jalan untuk berjalan kaki ke sekolah. Merentasi jalan keretapi. Seronok dan tidak pernah sehari pun aku bersendirian ke sekolah. Semua sepupu-sepapatku akan saling tunggu-menunggu di hadapan rumah opah yang terletak di tengah kampung, sebelum cukup semua orang yang perlu sama-sama ke sekolah waktu itu. Keseronokan itu tiada lagi kelihatan di zaman sekarang.
     Bangun awal juga membuat aku mempunyai tabiat membuat kerja-kerja rumah di saat akhir. Masa itu, bila tak sempat menyiapkannya, akulah orang yang paling tidak gembira di muka bumi ini. Suka buat kerja 'last minute'. Tanggunglah akibatnya. Sebelum tidur berjanji pada diri akan bangun lebih awal esok untuk menyiapkan kerja-kerja sekolah, tapi sebenarnya bersaing dengan masa sebab saat yang paling suntuk adalah waktu pagi semasa persekolahan.
     Bila sudah berada di sekolah menengah barulah aku membuang tabiat membuat tugasan di akhir waktu. Tidak mahu lagi seperti menjerut leher sendiri, berlumba dengan masa dan tiap kali juga masa akan menang. 
     Aku suka bangun lebih awal lagi daripada semua orang di asrama kerana aku paling tidak suka bersesak-sesak dalam bilik air, atau lebih malang lagi, jika air tangki di asrama sudah semakin perlahan bila semua orang sudah menggunakannya di masa yang sama.
     Barulah aku tahu, aku ini seorang yang cerewet. Aku berkongsi tabiat ini dengan dua orang kawan yang juga mempunyai tabiat yang sama denganku. Suka bangun awal dan dengan tenang dapat menyiapkan diri sebelum ke sekolah. Aku ingat lagi, antara kami akan saling kejut-mengejutkan dari tidur dan dapat memilih bilik air mana untuk bersiram. Gelap-gelap lagi sudah menjemur kain di ampaian, dengan bebasnya juga memilih ampaian baris yang mana untuk menyidai baju.
     Sesekali untuk lewat di pagi hari cuti sekolah, seronok juga tapi aku hanya melakukannya di rumah, bukan di asrama. Aku suka menghabiskan masa dengan mengaji atau membaca buku. Apa saja buku.
Kiranya, semua orang tahu, bagaimana nikmatnya bangun lewat di waktu cuti sekolah. Tapi aku akan berbalik dengan tabiat asalku untuk bangun awal, kerana aku sememangnya cerewet. Hatiku akan tidak merasa tenteram sepanjang hari jika aku memulakan hari lewat, macam ada perkara yang tertinggal
    Bila aku menjadi seorang pekerja, aku bangun awal untuk memastikan aku punya cukup masa untuk ke tempat kerja. Sebelum tidur, aku akan rancang baju apa yang akan ku pakai esok hari. Ada juga masanya bila terleka dengan zaman remaja, banyak bermain, berjaga hingga lewat malam akhirnya kurang besedia keesokan harinya. Nahaslah pada diri sendiri. Mood aku akan jadi begitu suram dan kelabu. Janganlah pula ada yang mengganggu-gugat mood aku, siaplah jadi mangsa kemarahanku. Paling tidak pun, aku akan kurang bercakap dengan orang berkenaan jika orang berbuat salah denganku. Pernah sekali, sewaktu bosku menugaskan aku ke jabatan bersebelahan aku buat tidak mendengar dengan harapan orang lain akan mengambil tugas itu. Selalunya aku saja yang kena pergi, sesekali aku berdiam diri apa salahnya. Tapi, bos marah. Aku pun melepaskan kemarahanku kepada staf lain dengan tidak bercakap langsung buat beberapa ketika hingga rakan-rakanku merasa takut kepadaku. Aku selalu riuh, banyak cerita. Sesekali badai melanda, senyap semua orang.
     Bila aku bergelar isteri orang, aku tetap suka bangun awal. Aku suka meraikan suamiku dengan masakan air tanganku, biara betapa letih pun. Aku suka. Aku merasa puas melakukannya dengan ada ruang peribadiku sendiri, sebelum suamiku membuka mata. Aku suka menyediakan makanan di atas talam untuk makan berdua, samada di ruang kamar ataupun di mana-mana bahagian rumah, samada di luar atau di dalam rumah. Di bawah pokok ataupun di tepi laut.
     Sehingga sekarang, aku suka bangun awal. Menyedut udara nyaman meskipun sudah tiada lagi udara yang tidak tercemar kerana manusia di mana sahaja ada yang tidak tidur kerana bekerja ataupun memang tabiat, suka berjaga, suka berjalan malam-malam sampai ke pagi, ataupun bergerak awal pagi kerana jarak perjalanan ke tempat kerja yang jauh. Aku hanya mampu bangun awal untuk menikmati hidup yang lebih baik dan aman.



Puteri bongsu tertidur di atas lap top akibat terlalu banyak berjaga...

No comments:

Post a Comment