Wednesday 25 January 2012

AKU MENUNGGUMU 5

     Pertemuan yang dirancang pada 8 September beberapa tahun lalu. Hanya silap sedikit sahaja. Kau tidak datang menjemputku. Padahal sudah terlalu lama tidak bertemu. Hanya kerana kau berada di Temerloh, kau ingin menemui ku dan merancang perjalanan ke Kuala Lumpur pada saat itu, malam itu juga. Aku sudah pun siap berpakaian, berdandan dan merancang segala tanggungjawab yang bakal kutinggalkan nanti. Tapi, bila hanya aku tidak menjawab panggilanmu, kau tidak menjemputku malam itu. Apakah perasaanku waktu itu. Siapa pun yang ada di sisiku, kaum keluargaku, lebih faham bagaimana aku menjadi biasa menunggu dan menunggu. Seperti itu memang satu-satunya kerjaku.

     Dalam hatiku merajuk. Aku terus menyalin pakaian tidur dan masuk tidur. Aku pastilah merasa amat jauh hati setelah berpisah jauh dan lama denganmu.  

     Memujuk hati sendiri, aku berfikir, kau hanya menurut kata hatimu sedangkan kau tidak tahu di mana tempat tinggalku sekarang. Tentu payah untuk kau cari malam-malam begini. Aku seperti biasa akan mengajar diriku berfikir perkara yang baik-baik sahaja.

     Memang kotak fikiran aku ini hanya terisi sangkaan-sangkaan yang baik sahaja. Apalah salahnya jika aku berfikir yang bukan-bukan sedikit?  Tapi tidak, aku selalu anggap kau akan berubah menjadi lelaki yang aku inginkan lalu satu-persatu sikapmu yang jelik itu menikam jantung hatiku.


     Malam itu aku tidur dengan perasaan yang seperti dibawa jauh. Jauh olehmu. Kau selalu mencuri waktu-waktu tenangku. Munculnya engkau walau dengan cara apapun, akan hanya membuat aku jadi tak menentu. Ketenteramanku, kedamaian hatiku hilang. Hanya kau saja yang mampu buat aku jadi begitu.


     Entah jam berapa kau menghubungiku semula, akupun tak pasti. Aku cuma ingat kau berjaya memujukku untuk berjumpa pagi itu. Masih tersisa rajukku tapi aku buang perasaan itu jauh-jauh. Ada yang lebih penting dari perasaan bodoh itu. Kau ingin membawaku berjumpa orang yang terpenting dalam hidupmu.


     Sejenak, aku ingin kau merasai, seperti berada 'di dalam kasutku'. Bagaimana jika kau menjadi seorang aku yang sering saja beralah dengan keadaan. Beralah aku dengan setiap detik sikapmu.


     Menangiskah aku dalam tidurku? Aku cuma belum lagi memberitahu seluruh dunia ini betapa luluhnya seketul hatiku ini.


     Mujurlah Dia kurniakan air mata agar dapat membasuh luka di jiwa perempuan yang begitu halus tersayat. Kemudian Dia gantikan pula dengan kekuatan yang melebihi kekuatan seorang lelaki. Wanita diberikan bahu yang kecil dari lelaki tapi dapat memikul beban tanggungjawabnya sebagai seorang ibu atau seorang isteri. Seorang wanita itu fitrahnya lemah dan lembut, tapi hatinya begitu kuat dan tabah. Kerana itulah seorang wanita begitu setia dan mempunyai rekod kesetiaan yang paling banyak berbanding dengan seorang lelaki.
    

No comments:

Post a Comment