Tuesday 24 January 2012

AKU MENUNGGUMU 2


    Bila kau menyepikan diri, aku mencari. Anehnya bila kau menghubungiku, aku jadi seperti ingin menjauhkan diri. Selalu begitu. Makin lama makin aku jadi cepat berubah. Mungkin masa yang menjadikan aku sudah pandai berubah. Mungkin juga kerana apa yang aku alami buat aku jadi cepat jauh hati bila kau menghantar pesanan ringkas.

     Kalaulah aku ada kekuatan untuk pergi jauh darimu, akan kupilih jalan itu. Sakit benar mencintaimu. Siksa benar menjadi setia padamu, kerana aku tak mampu untuk bertahan lama jika aku ingin menjauhimu.

     "abang suka cara ayang peluk abang..." 2 April, 11:41am.

     "mana tak gila, yang rindu" 11:42am.


     "..rindu abang?" 11:49am.


     Waktu itu kau dari jauh menjemputku pulang dari kerja. Lama tak berjumpa, lama sangat hinggakan semasa di dalam kereta aku tak tahu samada ingin kubunuh saja manusia ini, terlalu lama jauh dariku. Tapi aku melawan perasaan marah itu dengan memelukmu. Hanya aku saja yang tahu betapa marahnya aku terhadap apa yang kau lakukan padaku. Dosa besarnya kerana terlampau lama meninggalkanku tanpa alasan. Dosa besarnya kerana tidak pandai berkata benar kepadaku. Lidahnya hanya lancar menuturkan kata-kata yang sering menyakitiku. Itulah yang aku katakan kau sangat berbeza dengan lelaki lain. Cara kau menyakitiku. Tapi, sekali lagi dan untuk kali yang seterusnya cara yang paling sakit itulah yang buat aku tak dapat menyingkirkan kau dari hidupku.

     Kau ibarat pakaian bagiku. Aku juga adalah pakaianmu, menutup aibmu, menyelindung segala malumu. Aku tidak pernah berkongsi dengan sesiapa pun tentang kisah sebenar di sebalik hubungan kita. Itu adalah antara kau dan aku. Aku pun berharap begitu juga engkau melindungi segala rahsiaku yang hanya kau saja yang tahu. Selain Allah, hanya kita berdua saja yang aku benarkan menyimpan tiap detik memori antara kita.

     Aku tahu, Dia ada sebab menemukan kau dan aku. Lalu, tiap kelemahanmu aku telan satu persatu. Bermula dengan berita, kau bakal menjadi suami orang sewaktu di awal perkenalan kita dulu.

     Aku yang menderitainya. Aku yang melaluinya, bukan kau. Kau hanya mencipta segala warna-warna kelabu dalam hidupku. Waktu itu, aku sudah puas menangis dan 'menikmati' satu demi satu hasil perbuatanmu. Hanya kerana kau katakan itu semua adalah fitnah, aku tidak dapat mendengar sebarang kenyataan dari mulutmu. Untungnya, kita tidak bergaduh kerana perkara itu.

     Wanita diberi kekuatan menerima segala rintangan. Hanya kerana kau ditugaskan jauh setelah sebulan di sisiku, aku jadi tabah. Pelbagai berita aku terima tanpa aku perlu menyiasatnya. Bermacam kenyataan ku dapat dari e-mel dan telefon daripada orang yang tidak aku kenali. Kau menasihatiku agar menukar nombor. Pernah sekali kau memarahiku kerana bercakap tentang orang yang tak dikenali tentang perkara silam. Marah benar kau waktu itu. Kemudian melalui talian kau memujukku.

     "abang marah sebab abang terlalu sayang sangat"

     Aku rasa aneh saja bila kau cakap begitu. Hmm, perasaan ini sukar sekali memberi penjelasan mengapa dan kenapa. Mungkin kerana aku dipengaruhi oleh perasaan sukar percaya terhadap kata-kata kau 'terlalu sayang sangat' padaku. Atau mungkin bisikan-bisikan si bertanduk yang mahu merosakkan hubunganku dan kau. Si tanduk yang membisikkan rasa was-was kepada manusia.

     Aku pun tak peduli lagi tentang khabar-khabar itu. Hidup perlu diteruskan walau apapun keadaannya.

      Orang kata, hubungan jarak jauh takkan menjadi. Bohonglah itu. Aku dah jumpa kenalan, ramai klien-klienku yang mempunyai hubungan jarak jauh. Suami bekerja jauh dan berulang alik pada hujung minggu. Ada yang sudah terlalu biasa, menceritakan bagaimana dia dari rumahnya di Kuantan, bersedia dengan pakaian kerja sebelum berangkat, sampai tepat pada masa ke tempat kerja di Kuala Lumpur. Ada yang kudengar cerita, anak-anak dan isteri membuat kenduri kesyukuran dari Kota Kinabalu, hanya bercakap melalui telefon dengan suami di Kuala Lumpur, menceritakan bagaimana kenduri-kendara berjalan.

     Orang hebat banyak yang terpaksa berpisah jauh dari kaum keluarga. Perkara biasa sebenarnya. Takkan aku tidak dapat menerima keadaan ini bila terjadi padaku?

     Masa berganti masa. Aku tak pernah lupa menitipkan berita setiap ketika sepiku.Seringkali terlalu kerap kerana aku tak puas bersama kau. Kau pun tak pernah marah, bila-bila masa pun aku mengganggumu dengan pesanan ringkasku.

     "dulu ayang tiap-tiap hari sms abang.."

     Macam merungut je kau bila aku tidak lagi kirim pesanan ringkas tiap-tiap hari. Sejak kudengar kenyataan itulah aku seboleh mungkin akan mengirim mesej.

     Mengingatimu buat aku menghela nafas panjang. Bukan hanya kerana rindu, tapi pelbagai pertanyaan yang tiada jawapan sering bermain di fikiranku. Tiada pengakhiran. Selagi nyawa ini berdetik selagi itulah persoalan demi persoalan tentang dirimu akan bermain di fikiranku. Aku belum dapat menghentikannya. Kepada para isteri yang setia, aku percaya, kamu-kamu juga mempunyain pelbagai persoalan tentang suami-suami kamu juga. Hanya cara berfikir sahaja yang berbeza. 

No comments:

Post a Comment