Saturday 28 January 2012

AKU MENUNGGUMU 12



      "Allah tidak akan membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya" - dipetik dari al-Quranul Karim, surah al Baqarah, ayat 286

      Janganlah aku lupa, wahai hati sanubari. Sematkanlah dengan teliti dan pasti. Ini janji Allah. Bila musibah melanda, pasti didatangkan kekuatan untuk menghadapi musibah itu. Kita sahaja yang kurang berfikir kerana tidak tahan diuji.
     Demikian juga bila aku diuji dengan kesetiaan kepada dirimu. Aku terlalu setia jadi hatiku terlalu sakit bila dikhianati. Bila sudah terlalu lama kau mengenali aku, kau seperti mahu aku terus memahami tabiat burukmu seperti tiada apa-apa memberi kesan kepadaku. Seperti hatiku tidak mempunyai rasa. Seperti aku tidak akan binasa sedikit pun oleh caramu.
     Kau terlalu membiarkan tindakan bawah sedarmu menguasai diri. Kau menjalinkan lagi hubungan dengan perempuan lain satu persatu tapi aku terhidu tanpa payah sesiapa yang memberitahuku. Bila tiada pengesahan sesiapa tentang kenyataan itu, aku pun lupakan saja dengan harapan kau tidak akan mengulangi lagi sikapmu yang langsung tak cantik itu.
     Aku pula yang harus mengimbangi emosi agar tidak terjerumus di bawah perlakuan akal yang singkat. Sungguh lelaki mempunyai kekuatan akal melebihi nafsu, tapi jangan lupa, wanita yang mempunyai 9 nafsu dapat mengalahkan nafsumu yang satu itu. Aku akan terus bermain dengan alammu yang selalu menewaskanmu. Kau takkan sedar bila keadaan itu berlaku, seperti selalu.
     Waktu aku ingin mengangkat takdir menunaikan solat asar tadi, tiba-tiba aku terdengar bisikan, tentang kata-kata kau yang mengeji diriku secara halus. Aku lupakan sehingga aku selesai solat. Aku hanya mahu ingat setiap patah-patah bicara dari minda dan jiwa sebagai yang berhikmah. Bukan dari sudut hati yang terluka. Luka di hati akan sembuh, tapi jika luka iman, hati akan rapuh.
     Secara logiknya atau secara lumrahnya, jika seseorang bersifat munafik, kita perlu tinggalkan sahaja. Tapi akal budiku tetap berkata, jika kita tinggalkan seseorang kerana sifat munafiknya, siapa pula yang akan menegur kesilapannya? Cuma aku perlu berhati-hati dan menjadi hampir sempurna.  Aku perlu sentiasa memasang 'alarm' agar aku ingat aku tidak akan patuh kepada kemunafikannya.
     Aku perlu mengajar diriku agar tidak menyayangi kau kerana nafsu walau aku dan kau begitu bernafsu melayari cinta. Aku merubah nafsu itu kepada kehendak iman. Iman yang menyuruhku melakukan kebaikan dan meninggalkan kesesatan, dosa dan simpang- siurnya cinta yang tak berkesudahan. Kau dan aku perlu saling mengingat, usia ada penamatnya.

     "Jom nikah" 1:24am. Waktu itu kau benar-benar sedar tentang kesetiaanku. Itulah pengakhirannya. Itulah penamatnya. Tapi sebenarnya adalah permulaan bagi gerbang kehidupan fasa kedua kita.

     "Bila abang?"


     "Lepas raya" 1:25am. Muktamat bunyinya. Aku senang sekali. Seperti merasai dinginnya syurga.

    

No comments:

Post a Comment